Bersatu masih ada masalah ‘disiplinkan’ pemimpin, ahli, kata penganalisis

Bersatu masih ada masalah ‘disiplinkan’ pemimpin, ahli, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata tiada masalah untuk Adun Sungai Tiang berbeza pendirian dengan Bersatu yang cenderung mengkritik penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan.

perhimpunan agung bersatu
Bersatu telah kehilangan enam sokongan Ahli Parlimen dan seorang Adun yang mengalihkan sokongan antaranya disebabkan peruntukan wakil rakyat tidak dinikmati mereka dalam blok pembangkang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan Bersatu dilihat sukar mengawal wakil rakyatnya sehingga ada yang mula bersuara di ‘luar pendirian’ parti itu seperti dibangkitkan Adun Sungai Tiang Razak Khamis berhubung isu penyasaran subsidi.

Khamis lalu, wakil rakyat Bersatu itu meminta rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) menghentikan serangan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api terbabit sejak 10 Jun lalu, sebaliknya fokus bersama kerajaan mencari jalan mengurangkan kesan terhadap rakyat.

Azmi Hassan.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kenyataan ketua Bersatu Pendang itu boleh dilihat dari dua aspek iaitu pertama mahu kritikan melampau terhadap inisiatif kerajaan itu dihentikan apabila diakui kesan positif menerusi pelaksanaannya.

“Satu sudut lagi kenyataan itu membayangkan selepas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah, Bersatu masih ada masalah mendisiplinkan (ahli dan pemimpin) mereka.

“Bukan salah Adun itu tetapi salah parti yang hilang pedoman mengkritik secara melulu dan melampau berhubung subsidi diesel…jadi ini memberi kesan besar kepada Bersatu,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Razak itu berbeza dengan kritikan pemimpin PN termasuk Pengerusinya Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pelarasan harga siling diesel di Semenanjung kepada RM3.35 seliter sebagai menekan rakyat selain mendakwa punca kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, pada 30 Julai 2022, Muhyiddin yang ketika itu pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar.

Selain itu, Razak juga meminta cakap-cakap menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihentikan yang perlu diberi peluang mentadbir sehingga habis penggal.

Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula menyifatkan tindakan Razak itu sebagai wajar dan menunjukkan beliau memainkan peranan sebagai pembangkang rasional dan wakil kerajaan di peringkat negeri untuk membantu penduduk diwakili.

“Beliau tidak membangkang secara buta tuli tapi lebih kepada mengkritik dan semak imbang secara rasional, kenyataannya itu luar biasa namun wajar mengakui langkah kerajaan yang baik,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berharap suara dibawa Razak itu dapat menjadi permulaan untuk membuka jalan kerjasama kerajaan dan pembangkang dalam menstabilkan politik demi membangunkan negara.

“Antara perkara dituntut dalam demokrasi apabila blok kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama membangunkan negara dan bersama menyumbangkan idea, ia satu contoh politik matang dan sejahtera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.