
Seruan itu susulan ketidakteraturan yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.
Presiden Dr Azizan Abdul Aziz berkata MMA menulis surat kepada HRD Corp pada 2022, bagi mendapatkan penjelasan mengenai keperluan pengamal perubatan am (general practitioner atau GP) swasta membayar levi.
“Jawapan yang kami terima mengesahkan keperluan itu. Kini kami hampa apabila mengetahui bahawa levi yang dikutip daripada perniagaan telah disalah urus,” katanya dalam kenyataan.
Azizan berkata levi yang dibayar itu daripada pendapatan yang diperolehi perniagaan dengan susah payah, dan diamanahkan kepada HRD Corp untuk pembangunan bakat.
“GP swasta rasa tertipu apabila mendengar isu ini. Terdapat kira-kira 11,000 klinik GP swasta berdaftar di seluruh negara. Kira-kira 80% peratus GP swasta merupakan pengamal solo,” katanya.
“Dalam keadaan ini dan sehingga kebertanggungjawaban penuh ditentukan, kami percaya adalah tidak adil bagi perniagaan untuk terus membuat pembayaran kepada HRD Corp sementara menunggu siasatan penuh oleh pihak berkuasa.”
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilapor mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Menurut laporan, beliau berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.