
Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada rakyat menilai dakwaannya bahawa Zahid mengugut dan menghina pengundi DUN terbabit yang seolah-olah tidak akan diberikan projek tertentu jika kalah PRK Sungai Bakap esok.
Projek itu membabitkan pembinaan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“Tak payah panjangkan serah kepada rakyat menilainya,” kata Annuar yang juga ahli jawatankuasa dan timbalan pengarah pilihan raya PAS kepada FMT.
Isu itu tercetus apabila Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan akan membantu calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin jika menjadi wakil rakyat di Sungai Bakap, termasuk dalam membina PAWE dan SJKT terbabit.
Susulan itu, Annuar mendakwa kenyataan Zahid itu bersifat ugutan kepada pengundi dan dilihat menghina pengundi, seolah-olah tidak akan diberi projek tertentu jika PH kalah pada PRK terbabit.
Zahid membidas dakwaan Annuar dan menuduhnya ‘gila talak’.
PRK Sungai Bakap esok menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Perikatan Nasional yang meletakkan Abidin Ismail menentang Joohari.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff daripada PN pada 24 Mei lalu.
Keputusan PRK Sungai Bakap itu tidak akan mengubah pentadbiran Pulau Pinang yang kekal bawah kerajaan perpaduan PH-BN.