
Adun Sungai Tiang, Razak Khamis, berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pasti mempunyai alasan tersendiri apabila menyelaraskan harga runcit diesel kepada RM3.35 seliter di Semenanjung mulai 10 Jun lalu.

Malah, wakil rakyat Bersatu itu berkata dalam mengkritik, PN harus mengkaji sama ada mereka mampu menurunkan harga bahan api tersebut jika ditakdirkan memerintah semula pada PRU16 bagi mengelakkannya terperangkap dengan janji dibuat.
“Ditakdirkan Allah nak angkat parti kita jadi kerajaan sekali lagi…adakah kita boleh turunkan harga diesel? Belum tentu lagi.
“Sebab tu saya kata alternatif terbaik kita kena cari solusi (penyelesaian) bagaimana nak tambah pendapatan rakyat supaya jangan terbeban dengan kos harga barang dan diesel,” katanya kepada FMT.
“Kita ada agensi kerajaan dan kementerian, boleh bantu tengok macam mana tambah pendapatan rakyat…ini lebih baik berbanding kamu racun rakyat supaya benci kerajaan.”
Ketua Bersatu Pendang mengakui pendapatnya itu mungkin tidak digemari pemimpin PN lain namun beliau tetap berpegang semua harus ‘move on’ dan turun ke kawasan masing-masing membantu rakyat berdepan kenaikan harga diesel dan kos sara hidup.
Beliau yang juga timbalan speaker DUN Kedah berkata, ada pelbagai cara mengurangkan perbelanjaan seperti menggalakkan penduduk kampung memanfaatkan tanah mereka dengan tanaman sayur serta menternak ayam.
“Banyak tanah terbiar tetapi orang kampung sendiri beli kunyit, serai dan tanaman lain. Padahal semua tu boleh ditanam sendiri…sepatutnya jabatan berkaitan bantu rakyat buat kempen hijau.
“Bayangkan sehari anda belanja RM5 untuk beli sayur, kalau tanam sendiri, anda dah jimat RM150 sebulan dan duit lebih itu boleh digunakan untuk tujuan lain pula,” katanya menyatakan pelaksanaannya juga memerlukan perubahan sikap rakyat sendiri.
Sebelum ini, sebaik kerajaan mengumumkan pengapungan harga diesel, ramai pemimpin PN membidas langkah itu termasuk Pengerusinya Muhyiddin Yassin yang menyifatkan ia menekan rakyat selain mendakwa punca kenaikan harga barang.
Bagaimanapun, pada 30 Julai 2022, Muhyiddin yang ketika itu pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar.
Presiden Bersatu mendakwa pada masa itu hanya 20% subsidi disediakan kerajaan digunakan golongan B40, manakala selebihnya dinikmati golongan tidak sepatutnya seperti orang kaya dan pemilik kenderaan besar.
Kerajaan dijangka jimat RM4 bilion setahun menerusi penyasaran subsidi diesel yang memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan menjadi kepentingan kepada rakyat.