Pindaan akta banteras akaun keldai akan dibentang segera

Pindaan akta banteras akaun keldai akan dibentang segera

Pindaan membabitkan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

azalina
Azalina Othman Said berkata, RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga bulan lepas.
KUALA LUMPUR:
Pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi membanteras akaun keldai berkait jenayah penipuan dalam talian dijangka akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat kali ni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, pindaan itu membabitkan pewujudan kesalahan baharu agar tindakan dapat diambil terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan orang lain tanpa kuasa dan tujuan yang sah.

“Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kedua-dua akta ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

“Akan dibawa dan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini setelah memperolehi pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.”

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status penggubalan perundangan berkenaan akaun keldai untuk menangani peningkatan penipuan kewangan secara dalam talian.

Azalina berkata, pindaan itu turut akan memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan akaun bank disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah siber disita.

Terdahulu, Azalina memaklumkan, perundangan sedia ada tidak membenarkan pihak polis menyekat pergerakan wang mangsa menerusi akaun keldai yang digunakan.

Menurutnya, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga bulan lepas.

“Didapati juga terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan 43.20% bagi 2022, iaitu sebanyak RM851 juta kepada RM1 bilion bagi 2023, manakala kerugian bagi 2024, RM581 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.