Panel pelaburan HRD Corp tak lapor aktiviti pada lembaga pengarah, kata PAC

Panel pelaburan HRD Corp tak lapor aktiviti pada lembaga pengarah, kata PAC

PAC berkata panel juga gagal lantik wakil Bank Negara seperti terkandung dalam Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin, berkata Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bukan institusi pelaburan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Panel pelaburan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada Ahli Lembaga Pengarah, menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Laporan PAC menyebut, panel itu memberi justifikasi tidak melapor aktiviti pelaburannya kerana pengerusi Ahli Lembaga Pengarah juga merupakan pengerusi panel pelaburan.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin juga menegur, tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik dalam panel pelaburan, justeru tindakan itu bertentangan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001.

“Walaubagaimanapun, sejak 2017 tiada wakil BNM dalam panel pelaburan HRD Corp.

“Matlamat dan fungsi utama HRD Corp adalah pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan pekerja/perantis/pelatih dan bukan sebagai institusi pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

PAC juga menyatakan kebimbangan HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar,” katanya.

Katanya, PAC juga mendapati terdapat percanggahan menerusi perjanjian ‘Skills Passport’ yang sebelum ini dikatakan tidak membawa apa-apa implikasi kewangan kepada HRD Corp.

“Ini bercanggah dengan Jadual 3 perjanjian yang menyatakan bahawa HRD Corp akan membayar Neomindz Sdn Bhd berjumlah RM12 bagi setiap kali penggunaan,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, PAC mencadangkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melantik perunding bebas melakukan pengauditan forensik keberkesanan program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp dan tidak terhad kepada program di bawah geran kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.