
Dalam laporan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan artikel pertubuhan lima tahun lalu menyebabkan objektif penubuhan badan pemikir itu tidak selari dengan penubuhan serta kerajaan tiada lagi kawalan terhadapnya.
“Didapati dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytihar kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat 2016.
“Berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516,” dedah laporan itu.
Laporan LKAN 2/2024 menyebut pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara dan diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Empat tahun kemudiannya, organisasi itu dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.
Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan badan pemikir terbabit dari JPM.
Bagaimanapun pada 8 Nov 2021, kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi di bawah JPM.
Mengikut struktur organisasinya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung manakala Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Pengerusi bersama Kumpulan MIGHT Zakri Abdul Hamid menjadi penasihat.
Shamsul Amir Baharuddin dan Mohamed Mustafa Ishak masing-masing pengerusi serta timbalan pengerusi.