Kementerian Pengangkutan usaha baiki sasaran MRT, kata Loke

Kementerian Pengangkutan usaha baiki sasaran MRT, kata Loke

Sistem KPI baharu telah ditetapkan untuk mengurangkan kerosakan tren, kata menteri pengangkutan.

mrt
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kira-kira sejuta orang menggunakan perkhidmatan tren dan bas setiap hari.
PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sedang membaiki kelemahan dalam perkhidmatan MRT1 dan MRT2, yang gagal mencapai sasaran bilangan penumpang, kekerapan tren tersedia pada waktu puncak dan inventori stok pusingan.

“Saya menangani perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media.’

“Bagi Prasarana, kita telah wujudkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) dari segi Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) untuk mengurangkan kerosakan (tren).”

Beliau berkata, usaha ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan MRT dan LRT lebih boleh diharapkan.

Menurut Loke, tahap penumpang meningkat tahun ini, dengan Prasarana menyediakan perkhidmatan kepada sejuta penumpang setiap hari.

“Kita tampung 800,000 penumpang tren dan 200,000 penumpang bas setiap hari,” katanya.

Awal hari ini dilaporkan bahawa MRT1 dan MRT2 gagal mencapai sasaran dari segi jumlah penumpang harian, bilangan tren beroperasi dan kekerapan pada waktu puncak, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024.

Mengenai perkembangan lain, Loke berkata, setakat semalam, sebanyak 351 bas persiaran diperiksa menerusi Op Sepadu.

“Enam pemandu ditahan kerana gagal saringan dadah. Dalam kes sebegini, kita akan segera halang mereka memandu,” katanya.

“Bas tidak boleh jalan sehingga pemandu ganti dapat dicari,” katanya menambah, syarikat bas bertanggungjawab mencari pemandu ganti.

Pada Isnin, Loke mengumumkan operasi besar-besaran memeriksa bas persiaran berikutan kemalangan maut di Genting Highlands yang meragut nyawa dua pelancong China.

Beliau berkata, pegawai kementeriannya akan berbincang dengan rakan kongsi dalam sektor pelancongan tentang cara menambah baik SOP penguatkuasaan berhubung syarikat pelancongan dan bas persiaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.