
Menteri digital itu berkata, pindaan itu perlu bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi di Malaysia selaras dengan piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang global.
“Cadangan pindaan Akta 709 ini adalah untuk penambahbaikan dasar, khususnya dari aspek keselamatan dan penguatkuasaan, dalam menangani isu pelanggaran dan penyalahgunaan data peribadi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Gobind berkata, antara cadangan utama pindaan Akta 709 adalah mewajibkan pemberitahuan mengenai pelanggaran data peribadi, penambahan tanggungjawab pematuhan oleh pemproses data dan pelantikan Pegawai Perlindungan Data (DPO).
Cadangan lain termasuk memperkenalkan hak kemudahalihan data kepada subjek data dan memansuhkan keperluan pewartaan tempat yang dibenarkan untuk pemindahan mana-mana data peribadi ke luar Malaysia.
“Dalam merangka cadangan pindaan Akta 709 ini, Pesuruhjaya Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) turut mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan melalui pelbagai sesi libat urus,” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu juga bertujuan menangani isu penyalahgunaan data peribadi susulan statistik jumlah aduan yang diterima dari Oktober 2023 hingga Mac lepas menunjukkan trend peningkatan 5.1 %, dengan 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi diterima PDP.
“Sebanyak 157 aduan diterima pada suku keempat 2023 manakala 165 aduan diterima pada suku pertama 2024,” katanya.
“Bagi statistik pelanggaran data peribadi secara khususnya, trend meningkat dengan lebih ketara, iaitu 41% pada 2024 berbanding 2023.”
Gobind berkata, menurut laporan statistik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion dilaporkan di seluruh negara tahun lepas.
“Berdasarkan statistik 2023 tersebut, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan SMS, penyamaran dalam talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bermula 24 Jun hingga 18 Julai ini.