
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam berkata pengerusi interimnya P Ramasamy ketika berada dalam DAP selalu dikaitkan dengan kontroversi termasuk menyerang pimpinan PAS.
“Jadi perkara itu perlu dikawal dan jangan bawa sikap serta budaya melampau seperti dalam DAP apabila bekerjasama nanti termasuk selalu menyerang pemimpin PAS.
“Kena juga elak buat kenyataan kontroversi boleh mencetuskan rasa tidak puas hati kaum lain,” katanya kepada FMT mengulas kesediaan Urimai bekerjasama dengan PN jika gabungan itu sedia memperjuangkan nasib orang bukan Melayu.
Ramasamy dipetik berkata Urimau sedia bekerjasama dengan gabungan politik kecuali Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam maklum balasnya berkata PN sedia menjadikan Urimai sebagai rakan kerjasama tetapi tiada rancangan menerimanya sebagai komponen setakat ini.
Balasubramaniam berkata ketika ini sudah ada parti mewakili semua kaum dan jika ada parti baharu ia akan menyebabkan banyak isu seperti percanggahan pendapat dan perebutan kerusi dan lain-lain.
“Tapi Urimai lebih baik bantu dari luar gabungan untuk menguatkan PN.
“Masa PRU nanti kalau nak bertanding mungkin PN boleh pertimbang berdasar prestasi dan sumbanhan mereka,” katanya.
Ketua Penerangan sayap bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan pula berkata Urimai perlu menjiwai perjuangan PN jika mahu bekerjasama dan elak keluar kenyataan boleh memakan diri.
“Tak salah jika kenyataan kontroversi untuk kebaikan perjuangan dan rakyat, tetapi jangan sehingga makan diri,” katanya.