1,500 juta liter air sehari cukup untuk P.Pinang dan Perak, kata Chow

1,500 juta liter air sehari cukup untuk P.Pinang dan Perak, kata Chow

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata negeri itu pada mulanya mahu membeli air mentah dari Perak tetapi kini menukar kepada membeli air terawat.

sungai
Projek air di Sungai Perak dengan peruntukan RM4 bilion akan menyalurkan air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah. (Gambar PBA)
NIBONG TEBAL:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung projek air di Sungai Perak yang dijangka mampu membekalkan unjuran 1,500 juta liter air sehari di utara Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata unjuran tersebut adalah lebih daripada mencukupi untuk keperluan di kedua-dua negeri itu.

“Pihak kerajaan negeri faham bahawa sebahagian besar bekalan air itu adalah untuk keperluan Perak bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

“Pada peringkat awal, Pulau Pinang berharap untuk mendapat lebih kurang 700 juta liter air sehari, namun, kita belum membuat rundingan untuk perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah Madani masyarakat India di Bandar Tasek Mutiara.

Chow berkata peringkat seterusnya adalah untuk syarikat air dari kedua-dua negeri itu mengadakan rundingan bagi menetapkan harga, jumlah bekalan air yang boleh disalurkan serta syarat-syarat lain dalam perjanjian.

Beliau berkata pada mulanya kerajaan negeri mahu membeli air mentah daripada kerajaan negeri Perak, namun apa yang ingin diusahakan sekarang ini ialah pembelian air terawat.

Perdana menteri pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat dua hari lalu berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek KIGIP, dijangka mampu membekalkan unjuran keperluan 1,500 juta liter air sehari di utara Perak dan Pulau Pinang.

Anwar berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dengan peruntukan RM4 bilion dijangka dimulakan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.