
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kegiatan itu dikesan JAS dalam Op Patuh bersama polis dan Jabatan Imigresen bermula 11 pagi tadi.
Dalam operasi itu, katanya, dua kilang didapati menjalankan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-sisa) tanpa kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) serta lesen daripada JAS dan melakukan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan EIA.
Beliau berkata, sebuah daripada kilang itu dipercayai beroperasi secara haram dan menghasilkan pelet dibungkus dalam pek dilabel sebagai makanan ikan.
“Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 100 metrik tan yang selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar,” katanya selepas menyertai serbuan dalam Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di kawasan perindustrian di sini.
Dalam serbuan di sebuah kilang lagi, lebih 1,500 metrik tan bahan sisa elektronik ditemui dan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil terhadap premis terbabit.
“Saya ingin menegaskan Op Patuh yang dilaksanakan hari ini sejajar aspirasi untuk menjalankan pemutihan terhadap industri haram di Kedah.
“… ini untuk mengawal aktiviti tidak mematuhi undang-undang serta merosakkan alam sekitar, merisikokan kesihatan masyarakat setempat dan menyebabkan ketirisan hasil negeri dan negara.”
Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sentiasa komited memastikan semua industri beroperasi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta lain-lain perundangan berkaitan.