Dewan Rakyat lulus RUU luas kuasa ketua audit negara

Dewan Rakyat lulus RUU luas kuasa ketua audit negara

RUU bagi meminda Akta Audit diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 26 Ahli Parlimen.

dewan-rakyat
Akta Audit sedia ada tidak dipinda sejak 1991 dan perlu diperkasakan selaras perkembangan terkini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang bertujuan meluaskan kuasa ketua audit negara bagi memeriksa, menyiasat, dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.

RUU bagi meminda Akta Audit itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 26 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata pindaan itu memperkasa peranan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk membina kepercayaan awam dengan menyediakan pengauditan bebas dan objektif terhadap perbelanjaan kerajaan.

“JAN memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus yang baik, dengan memastikan aktiviti dan perbelanjaan kerajaan dijalankan dengan bertanggungjawab dan beretika.

“Dengan pindaan ini saya pasti JAN akan menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh bagi menjadikan negara demokratik yang lebih matang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Jun oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Sementara itu, JAN dalam kenyataan memaklumkan pindaan Akta Audit akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.

Selain itu, ia dapat memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.

Seramai 35 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyertai sesi libat urus bersama Azalina pada Isnin, serta mendengar pembentangan ketua audit negara mengenai inti pati pindaan.

“Akta Audit sedia ada tidak dipinda sejak 1991 dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam,” menurut kenyataan itu.

“Pindaan juga bertujuan memperkasakan peranan ketua audit negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang, melalui tiga pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi kerajaan, serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.