
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, beliau seakan masih tidak percaya dirinya dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk berentap di temasya terbesar dunia itu.
Beliau berjanji akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan menjadikan kesempatan itu medan menambah baik prestasinya sebagai atlet.
“Inilah peluang untuk saya maju dan menambah baik prestasi saya, Olimpik pentas yang besar, saya akan cuba yang terbaik sekurang-kurangnya buat rekod terbaik bagi musim ini atau rekod kebangsaan.
“Saya percaya diri saya, berita ini motivasi tinggi kepada saya untuk buat (yang) terbaik,” katanya selepas aksi 4x100m lelaki Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di sini.
Azeem merangkul emas dalam acara itu bersama Alif Iman Mohd Fahimi, Mohd Raimi Mustafa Kamal dan Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dengan catatan masa 40.10s.
Terdahulu, KOM menerusi Presidennya, Shahidan Kassim mengumumkan tiket “wild card” ke Sukan Olimpik Paris 2024 diberikan kepada Azeem.
Seorang lagi calon “wild card” ialah pelari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.
Shereen berkata, beliau menerima keputusan KOM itu dengan hati terbuka.
“Saya akan terus bekerja keras. Saya akan kembali lebih kuat tahun depan dan siapa yang dapat dialah yang berhak. Jadi, saya tidak kecewa tentang perkara itu.
“Saya merancang untuk menyertai beberapa lagi kejohanan sebelum mengakhiri musim,” katanya.
Pada aksi final 400m wanita Sukan AUG di sini, Shereen menyambar pingat emas dengan catatan masa 53.71 saat meninggalkan pelari Thailand, Benny Nontanam (55.09s) dan pelari tuan rumah Maulidah (56.51s) yang masing-masing meraih perak serta gangsa.