94 iklan jual beras di platform e-dagang diturunkan

94 iklan jual beras di platform e-dagang diturunkan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata penjual didapati tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan Kawalselia Padi dan Beras.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata beras dijual dalam talian itu dipercayai diperoleh daripada sumber tidak sah dan disyaki dibawa masuk tanpa kelulusan.
PETALING JAYA:
Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Okt hingga 31 Mei lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata tindakan itu diambil kerana penjual dalam talian itu didapati tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

“Beras yang dijual juga dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah dan disyaki dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan,” menurut KPKM. Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

KPKM berkata perbuatan berkenaan adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 10(1)(a) Peraturan- Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

Tegasnya, penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang terikat dengan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.