Umno pusat tolak autonomi negeri tentu rakan politik PRN, dedah Rahman

Umno pusat tolak autonomi negeri tentu rakan politik PRN, dedah Rahman

Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan berkata ia bagi mengelak 'kejanggalan' dalam dasar parti.

Abdul Rahman Dahlan berkata, jika Umno Sabah diberi autonomi maka negeri lain juga akan menuntut perkara sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Abdul Rahman Dahlan mendedahkan permintaan Umno Sabah diberi autonomi menentukan rakan politik menjelang PRN ditolak Umno pusat.

Beliau yang juga timbalan ketua Umno negeri, berkata ia bagi mengelak ‘kejanggalan’ dalam dasar parti, sambil menyatakan Umno pusat tidak mahu negeri-negeri membuat keputusan tidak selari dengan pandangan atau kedudukan mereka.

“Kalau Umno di peringkat negeri membuat keputusan berlainan, ia akan memberi suatu kejanggalan dan kedudukan yang rumit bagi menyelaraskan pendirian dan dasar Umno.

“Sukar untuk leraikan kejanggalan ini. Itu sebab Umno pusat tidak mahu menurunkan kuasa bukan sahaja Umno Sabah, tetapi juga negeri-negeri lain. Perlu ada satu jajaran yang betul-betul melambangkan jajaran menyeluruh di semua peringkat,” katanya dalam video di Facebook.

Sebelum ini, Rahman membidas pemimpin tertentu yang mengumumkan kerjasama politik termasuk bersama Warisan pada PRN walaupun belum ada keputusan muktamad, tanpa menyebut nama.

Katanya, Presiden Zahid Hamidi sejak tahun lalu mengingatkan pemimpin negeri tidak membuat kenyataan mengenai kerjasama terbabit sebelum keputusan rasmi dibuat.

Desas-desus kerjasama Warisan dan Umno untuk berdepan PRN mula bertiup sejak Disember lalu susulan kehadiran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan diketuai bekas ketua menteri Shafie Apdal.

April lalu, Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir, berkata parti itu mungkin hanya menjalin kerjasama dengan Warisan selepas PRN, sambil mengakui rundingan bersama parti pimpinan Shafie itu berjalan lancar.

Sebulan kemudian, Bung turut memberi ‘bayangan’ membentuk gagasan dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam PRN.

FMT sebelum ini melaporkan kewujudan persetujuan kerjasama antara Umno, Pakatan Harapan (PH), KDM, dan Warisan untuk berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17 nanti.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.