
Presiden Persatuan SME Malaysia, Ding Hong Sing, berkata tarif elektrik bukanlah sebahagian besar daripada kos operasi bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bergantung pada jenis perniagaan, kebanyakannya kos elektrik tidak lebih daripada 5% daripada jumlah kos operasi,” katanya kepada FMT.
“Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa harga (barang dan perkhidmatan) boleh dikurangkan kerana pengurangan ini tidak ketara,” tambahnya.
Shaun Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia, bersetuju dengan pandangan tersebut.
Beliau berkata penurunan tarif hanya memberi kesan besar kepada perniagaan yang menggunakan banyak tenaga, seperti gudang penyimpanan sejuk beku.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan surcaj elektrik bagi pengguna komersial dan industri daripada 17 sen/kWh kepada 16 sen/kWh untuk membantu menurunkan harga pelbagai barang.
Kadar baharu ini akan berkuat kuasa sehingga 31 Dis, dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 34,000 pengguna.
Cheah menjelaskan bahawa penurunan ini memberi kesan minima dan tidak mungkin dapat mengimbangi peningkatan kos menjalankan perniagaan.
“Ini mungkin membantu mengurangkan beban PKS tetapi tidak sampai ke tahap di mana harga barang boleh dikurangkan memandangkan kos operasi terus meningkat,” katanya kepada FMT.
Ding berkata penurunan satu sen ini “tiada apa-apa” jika dibandingkan dengan kenaikan harga diesel, terutama dengan banyak perniagaan masih menunggu kelulusan permohonan subsidi kad fleet diesel mereka.
“Sebahagian PKS sebelum ini membelanjakan kira-kira RM3,000 sebulan untuk diesel, tetapi meningkat kepada RM4,500 sebulan (bagi yang masih menunggu permohonan subsidi mereka diluluskan),” tambahnya.
Kerajaan mengumumkan bahawa perniagaan yang belum menerima kad fleet boleh memohon bayaran balik subsidi.
Bagaimanapun, terdapat had pada jumlah yang boleh mereka tuntut setiap bulan berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) melihat penurunan surcaj elektrik sebagai langkah yang baik tetapi hanya untuk mengekalkan harga pada tahap semasa.
CEO Fomca, Saravanan Thambirajah, memberitahu FMT bahawa pengguna jangan mengharapkan penurunan itu akan mempunyai kesan yang besar ke atas pasaran.