Pengerusi Suhakam akan dilantik dalam masa terdekat

Pengerusi Suhakam akan dilantik dalam masa terdekat

Pengerusi baharu akan diumum selepas jawatankuasa yang dibentuk membuat pilihan.

M KULASEGARAN
Timbalan Menteri M Kulasegaran berkata cadangan pengerusi baharu Suhakam berada pada peringkat akhir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bakal mendapat pengerusi baharu, susulan peletakan jawatan Rahmat Mohamad pada 31 Ogos tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi) M Kulasegaran berkata individu berkenaan akan diumum selepas jawatankuasa yang dibentuk bagi memilih pengerusi baharu membuat pilihan.

“Satu mesyuarat jawatankuasa pemilih bagi memilih pengurusi Suhakam diadakan pada 7 Jun 2024 selaras dengan Seksyen 11A Akta Suhakam.

“Cadangan pengerusi Suhakam pada masa kini berada pada peringkat akhir dan pengerusi baharu akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya, ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, petang tadi.

Kulasegaran berkata pindaan Akta Suhakam sebelum ini menetapkan individu yang dilantik untuk menganggotai suruhanjaya itu perlu bebas dan tidak boleh terlibat secara aktif dalam mana-mana parti politik.

“Adalah juga dimaklumkan bahawa mengikut Seksyen 5(4) Akta Suhakam, bagi tempoh kekosongan jawatan pengerusi, naib pengerusi yang dipilih daripada anggota Suruhanjaya hendaklah melaksanakan fungsi pengerusi dan ia telah dilaksanakan semasa tempoh kekosongan jawatan pengurusi tersebut,” katanya.

Dalam sesi perbahasan laporan tersebut sebelum ini beberapa ahli Parlimen menggesa pelantikan baharu segera dilaksanakan memandangkan jawatan itu kosong sejak September.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) antara yang membahaskan laporan tersebut antara lain mencadangkan bekas kakitangan awam yang sudah bersara tidak dilantik mengisi jawatan berkenaan, sebaliknya memilih individu yang lebih muda dan berkelayakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.