Bunuh bayi diasuh isteri, mahkamah kekal hukuman mati

Bunuh bayi diasuh isteri, mahkamah kekal hukuman mati

Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan terhadapnya.

Gavel
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap Hazmi Majid, 42, yang didapati bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan, enam tahun lalu. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang didapati bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023, lapor Berita Harian.

Hakim Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Abu Bakar Jais dan Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam.

Mangsa Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan kemaluan bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Ketika kejadian, bayi seberat 8.26 kg dan belum tumbuh gigi itu turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh mangsa di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima.

Menurutnya, ia berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

Katanya, kes berkenaan menepati kehendak ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian jam 6.45 pagi dan didapati dalam keadaan nazak pada 1.30 tengah hari dengan kecederaan serius di kepala,” katanya.

Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 November 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.