
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, parti itu diketuai bekas pemimpin DAP P Ramasamy, membawa ideologi politik berbeza daripada perjuangan parti komponen PN khususnya PAS yang berasaskan Islam.
“Banyak contoh seperti kes Zakir Naik, isu orang Melayu yang Ramasamy pernah bertelagah sama ada dengan parti berteraskan Islam atau bukan Islam,” katanya kepada FMT, menyatakan tiada musuh mahupun sahabat kekal dalam politik melainkan ada kepentingan.
Bagaimanapun, Awang berkata penyertaan Urimai dengan Ramasamy yang berpengalaman sebagai wakil rakyat adalah perlu memandangkan kepimpinan bukan Melayu terutama India dalam PN dilihat masih tidak mampu menarik sokongan kaum itu.

“Ternyata PN sebenarnya memang dahagakan penyertaan mahupun sokongan lebih ramai orang India dan Cina walaupun kita lihat golongan itu menolak mereka hingga hari ini,” katanya.
Kelmarin, Ramasamy berkata parti itu sudi mempertimbangkan menyertai PN jika gabungan berkenaan sedia memperjuangkan nasib orang bukan Melayu.
Namun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat tiada keperluan untuk PN menerimanya menjadi komponen memandangkan mereka baru menerima keahlian Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), menyatakan Urimai boleh menjadi ‘rakan kerjasama’ gabungan itu.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kesan dibawa Urimai terhadap DAP adalah minimum namun ia dapat ‘mencacatkan’ sokongan pengundi India terhadap parti tersebut jika bersama PN.
Katanya, langkah meraih sokongan itu diyakini lebih berkesan berbanding Gerakan dan MIPP bersandarkan statistik PRN enam negeri serta PRK Kuala Kubu Baharu sebelum ini.
“Kemungkinan Ramasamy akan berfungsi lebih baik dan beri impak lebih positif kepada PN berbanding Gerakan yang dipimpin Dominic Lau.
“Begitu juga MIPP yang tidak mempunyai sejarah atau statistik untuk menyatakan mereka ada sokongan pengundi India selain dapat membentangkan berapa jumlah ahli mereka,” katanya.
Urimai ditubuhkan pada November 2023 dan sedang menanti kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Ramasamy yang menyertai DAP pada 2005 keluar parti itu selepas tidak dicalonkan untuk mempertahankan DUN Perai pada PRN Ogos lalu.
Pada PRK Kuala Kubu Baharu, Urimai menggiatkan kempen yang mengajak pengundi tidak mengundi PH kerana mendakwa pelbagai janji tidak ditunai kepada rakyat.