
“Penjenayah siber secara aktif mengendalikan saluran dan kumpulan di Telegram, khusus untuk membincangkan skim penipuan, mengedarkan pangkalan data bocor dan berdagang dalam pelbagai perkhidmatan jenayah seperti menunaikan wang, memalsukan dokumen, menyediakan perkhidmatan serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS),” kata Kaspersky dalam kenyataan.
Serangan DDoS terjadi disebabkan sistem rangkaian komputer sesebuah organisasi atau syarikat dijangkiti Trojan, sejenis perisian hasad (malware) yang menyamar kewujudannya sebagai salah satu sistem pengendalian sah seperti sistem urus niaga bank, aplikasi perkhidmatan dan lain-lain.
Penganalisis perisikan jejak digital Kaspersky, Alexey Bannikov berkata, minat semakin meningkat dalam Telegram daripada komuniti penjenayah siber kebanyakannya disebabkan perkhidmatan “messenger” (perkhidmatan mesej) sangat popular sehingga mencapai 900 juta pengguna sebulan.
“Kedua, ia dipasarkan sebagai perkhidmatan mesej paling selamat dan bebas yang tidak mengumpul sebarang data pengguna, justeru ‘threat actors’ (pelaku serangan siber) menganggap ia selamat dan tidak akan dikenakan sebarang hukuman.
“Selain itu, mencari atau menubuhkan komuniti di Telegram mudah dan pelbagai faktor lain, membolehkan pelbagai saluran dalam Telegram, termasuk milik penjenayah siber, mengumpulkan pengikut dengan cepat.”
Bannikov berkata, satu lagi trend ialah Telegram muncul sebagai platform untuk penggodam membuat kenyataan dan meluahkan pandangan mereka.
“Disebabkan pangkalan penggunanya luas dan pengedaran kandungan pantas melalui saluran Telegram, penggodam mendapati platform itu alat mudah untuk melakukan DDoS dan kaedah gangguan lain terhadap infrastruktur disasarkan.
“Selain itu, mereka boleh mengeluarkan data dicuri daripada organisasi diserang ke dalam domain awam menggunakan saluran bayangan.”