
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata pihaknya memeriksa 22 bas persiaran dalam operasi yang bermula 6 pagi tadi.
Katanya, dalam tempoh tiga jam, pihaknya menahan dua pemandu bas persiaran kerana tiada lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya syarikat dan pemandu bertanggungjawab ke atas kenderaan masing-masing. Kita sita bas itu sehingga syarikat menggantikan pemandu yang ada lesen sah,” katanya pada sidang media, menurut Berita Harian.
Operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Muhammad Kifli berkata seorang daripada pemandu yang diperiksa dikesan positif dadah berdasarkan ujian air kencing dijalankan AADK ke atas kesemua mereka.
“Pemandu berusia 30-an itu didapati positif menggunakan ganja dan tindakan lanjut akan diambil.
“Kita turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing tiada Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bas pelancongan dan bas ekspres supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kami tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan demi keselamatan penumpang,” katanya.