
Anwar berkata, kuota Bumiputera ke kolej matrikulasi menjadi bualan dan polemik, dengan ada pihak mempertikaikan hak minoriti dan satu lagi pihak mempersoalkan hak Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita (Jemaah Menteri) ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
“Ini akan mengurangkan ‘ketegangan’ yang dihadapi Kementerian Pendidikan hampir setiap tahun (apabila keputusan penempatan matrikulasi diumumkan),” katanya.
Katanya, keadaan itu boleh menghangatkan suasana politik yang kadangkala boleh menjurus membawa ketegangan kaum dan sosial.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa kuota sedia ada Bumiputera ke program matrikulasi tidak akan berubah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan beri jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini.
Anwar berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan mengganggu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.
Kuota kaum untuk kemasukan ke universiti awam dihapuskan pada 2002. Bagaimanapun, kolej matrikulasi masih mengekalkan kuota 90% untuk Bumiputera, manakala kursus-kursus asas tertentu hanya untuk Bumiputera sahaja.
Anwar menyatakan bahawa walaupun meritokrasi adalah penting, keadilan dan kesaksamaan sosial juga perlu diambil kira untuk mengelakkan ketidakadilan terhadap komuniti yang terpinggir dan miskin.
Memetik konsep ‘justice as fairness’ oleh John Rawls dan ‘tyranny of meritocracy’ oleh Michael Sandel, Anwar berkata bahawa adalah tidak adil untuk pelajar dari latar belakang yang kurang bernasib baik atau di pedalaman bersaing secara adil dengan mereka dari sekolah-sekolah bandar yang lengkap dengan kemudahan moden.
“Saudara minta orang Manek Urai bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsar) atau (SMJK) Chung Ling dengan segala prasarana siap di bandar. Minta bersaing dengan sekolah menengah di Kapit (Sarawak). Itu bukan kesaksamaan,” katanya.
“Jadi kita setuju meritokrasi, kita pertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Kalau kita tekankan meritokrasi sahaja, maka orang yang terpinggir, miskin, akan kekal dalam keadaan sedemikian,” katanya.