Sarawak tak hasrat rampas hak Petronas, kata Abang Jo

Sarawak tak hasrat rampas hak Petronas, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata, segala usaha dilaksanakan Sarawak dalam industri O&G, terutama menerusi Petroleum Sarawak Bhd berlandaskan hak dan undang-undang.

Abang Johari Openg berkata, Sarawak tidak mengambil hak orang, sebaliknya menguruskan perniagaannya berdasarkan hak mereka. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sarawak tidak berhasrat merampas hak Petronas, sebaliknya menganggap syarikat itu rakan kongsi dalam industri minyak dan gas (O&G) negara, kata Premiernya, Abang Johari Openg.

Beliau berkata, segala usaha dilaksanakan Sarawak dalam industri O&G, terutama menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berlandaskan hak dan undang-undang.

“Kami tidak mengambil hak orang. Kami menguruskan (perniagaan kami) berdasarkan hak kami. Kami bekerja secara harmoni.

“Kami bekerjasama berdasarkan undang-undang kami, dalam parameter hak undang-undang kami. Saya mahu jelaskan perkara ini kerana banyak di media sosial menuduh Sarawak merampas hak Petronas,” katanya berucap pada majlis penghargaan vendor industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di sini.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Bacho Pilong berkata, Petronas komited menjadi rakan strategik Sarawak untuk bersama memacu pertumbuhan dan kelestarian sektor OGSE di Sarawak.

“Sejak 2020, kami menyaksikan trend meningkat bagi projek diberikan kepada vendor Sarawak dan kami optimis mencapai sasaran kami pada 2024.

“Sehingga Februari tahun ini, jumlah nilai projek diberikan kepada vendor Sarawak sebanyak RM37.41 bilion, dengan RM22.62 bilion diberikan dalam negeri itu sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.