
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata siasatan turut mendapati bas persiaran itu sudah berusia 15 tahun, melebihi had usia dibenarkan, iaitu 12 tahun dan tambahan tiga tahun sekiranya ada rayuan.
“MOT memandang serius kemalangan ini kerana jelas menunjukkan syarikat pengendali tidak mematuhi undang-undang, syarat dalam permit, membenarkan pemandu tidak ada lesen memandu dan bas melebihi usia permit,” katanya dalam sidang media di sini.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat bas persiaran terlibat kerana ketidakpatuhan undang-undang amat jelas sehingga menjejaskan imej negara membabitkan kematian pelancong asing.
Loke berkata, APAD mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas persiaran itu dan mereka diberi tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.
Katanya, JPJ bercadang mengambil tindakan bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan pemegang lesen tidak mematuhi mana-mana syarat pada lesen bawah seksyen itu, boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Dalam insiden 11 pagi itu, dua lelaki warga China maut, manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di KM16.5 Jalan Turun Genting Highlands.
Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, pemandu bas persiaran berumur 32 tahun itu tiada lesen memandu, selain memiliki 27 saman trafik lampau pelbagai kesalahan.
Loke berkata, siasatan akan dijalankan daripada semua aspek, termasuk dakwaan bas itu menggunakan nombor kenderaan palsu.
Mengenai mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam masa terdekat, katanya, ia antara lain akan membincangkan beberapa perincian, termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.
“SOP kita ketat, cuma isu ketidakpatuhan. Ia perkara yang kita amat kesal sekali bahawa pengendali tidak patuh syarat, kita ada SOP, bukannya tidak ada.
“Ada syarat jelas, kena buat pemeriksaan kenderaan, perbaharui permit, had usia kenderaan dan sebagainya, tapi syarikat langgar semua, itu menjadi masalah kita (kerana) ada pengendali tidak bertanggungjawab.”