Mahkamah ubah hukuman penjara Lokman kepada bon kelakuan baik

Mahkamah ubah hukuman penjara Lokman kepada bon kelakuan baik

Ahli MKT Umno itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sebulan kerana menakut-nakutkan saksi utama kes 1MDB.

lokman adam
Hukuman penjara sebulan Lokman Noor Adam kerana menakut-nakutkan saksi utama kes 1MDB telah diubah kepada bon kelakuan baik selama setahun.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengubah hukuman penjara sebulan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam kepada bon kelakuan baik selama setahun atas kesalahan menakut-nakutkan saksi.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Nallini Pathmanathan berkata, hukuman diubah kerana Lokman telah membuat permohonan maaf sepenuhnya dan tanpa syarat kepada mahkamah sebelum keputusan dibuat.

“Terdapat perubahan material keadaan hari ini kerana perayu telah berjanji untuk tidak mengulangi tindakannya,” kata Nallini.

Panel Mahkamah Persekutuan itu turut dianggotai Hakim Rhodzariah Bujang dan Abu Bakar Jais.

Hukuman hari ini bermakna mahkamah boleh memanggil semula kes Lokman jika dia melakukan salah laku dalam tempoh setahun dan mengenakan hukuman yang sewajarnya.

Tahun lepas, Lokman menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung sabitan dan hukuman penjaranya, namun ditolak.

Pada 29 Sept 2019, Lokman membuat laporan polis mencabar kredibiliti bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, sebagai saksi. Dalam kandang saksi, Amhari mengaku menerima pinjaman USD200,000 daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Selepas membuat laporan, Lokman turut membacakan kenyataan kepada pihak media. Sebuah video dia membaca kenyataannya turut mengandungi wawancara yang mana dia dikatakan menyerang integriti peguam negara.

Pada 22 Okt 2019, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Pihak pendakwaan berhujah, selain mengancam saksi tersebut dan bakal saksi lain, komen Lokman mengenai Amhari menjejaskan pentadbiran keadilan.

Najib, 67, sedang dibicarakan atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam bentuk dana 1MDB, dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada 15 Julai 2021, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Lokman selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah, tetapi membenarkan penangguhan dengan syarat dia membayar bon RM3,000 dengan satu jaminan.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, Lokman tidak menunjukkan beliau kesal mahupun insaf atas tindakannya, yang menjadi faktor pemberatan.

Mahkamah Rayuan, ketika mengesahkan sabitan dan hukuman berkata, niat Lokman untuk menghina mahkamah juga boleh dilihat dalam kelakuannya.

Hari ini, peguam Shafee Abdullah berhujah bahawa Lokman bertindak sedemikian kerana menerima nasihat yang salah ketika itu.

“Saya telah menasihatinya tentang akibat menakut-nakutkan saksi. Dia sedar ia suatu kesilapan,” katanya.

Shafee turut menegaskan bahawa Lokman, seorang ahli politik, ialah pesalah kali pertama dan menggesa mahkamah mengelak mengenakan hukuman tahanan.

“Bon bersyarat atau denda RM1,000 boleh dikenakan,” katanya.

Sebarang jumlah RM2,000 dan ke atas boleh menghalang Lokman daripada bertanding pada pilihan raya dalam tempoh lima tahun akan datang, tambahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar berkata, mahkamah perlu memberi amaran kepada Lokman selain mengenakan bon kelakuan baik dan denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.