Lesen syarikat bas terlibat nahas Genting mungkin digantung, dibatal

Lesen syarikat bas terlibat nahas Genting mungkin digantung, dibatal

Setakat ini, Apad telah menghantar surat tunjuk sebab kepada M Kumar Trans Tour Sdn. Bhd untuk mendapatkan penjelasan.

bas terbabas
Pada Sabtu lepas, sebuah bas persiaran dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika turun dari Genting Highlands, mengakibatkan 2 warga China maut. (Gambar JBPM)
PUTRAJAYA:
Syarikat bas persiaran yang terlibat dengan nahas dalam perjalanan turun dari Genting Highlands Sabtu lepas mungkin digantung atau dibatalkan lesennya mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), jika didapati bersalah.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berkata, semakan awal mendapati bas persiaran itu dilesenkan bawah syarikat M Kumar Trans Tour Sdn Bhd.

Menurut Apad, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan lengkap.

“Tindakan awal juga telah dibuat dengan memanjangkan Surat Tunjuk Sebab kepada pihak syarikat bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian,” katanya.

“Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, Apad boleh mengambil tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen bawah Seksyen 45 Akta 715.”

APAD turut menegaskan, tiada kompromi terhadap kesalahan melibatkan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

Dalam kejadian pada 11 pagi itu, dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di KM16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, pemandu bas persiaran berusia 32 tahun itu didapati tiada lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.