PRK Sungai Bakap: Undi PN untuk ‘selamatkan’ Umno, kata pemimpin PAS

PRK Sungai Bakap: Undi PN untuk ‘selamatkan’ Umno, kata pemimpin PAS

Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pemimpin PH terutama DAP tidak mahu melihat Umno menjadi parti besar seperti dahulu.

Ahmad Fadhli Shaari berkata Umno tidak akan bangkit selagi berada dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mengajak ahli Umno menyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk pada PRK Sungai Bakap untuk ‘menyelamatkan’ parti itu.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa ini kerana pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama DAP tidak mahu melihat Umno menjadi parti besar seperti dahulu.

Dakwanya, Umno tidak akan bangkit selagi berada dalam kerajaan perpaduan.

“Tak percaya tanya pimpinan DAP dan PH, apakah mereka nak kembalikan Umno sebagai parti nasional seperti dahulu? Pastinya tidak.

“Kalau anda (ahli Umno) fikir untuk selamatkan Umno undilah PN,” katanya pada ceramah PN PRK Sungai Bakap, malam tadi.

PRK Sungai Bakap Sabtu depan menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon PH Joohari Ariffin dengan Abidin Ismail dari PN.

Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahlinya bagi memastikan kemenangan Joohari, mewakili kerajaan perpaduan.

Katanya, ahli Umno yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang di lapan pusat daerah mengundi.

Kerusi Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, Fadhli mencabar PKR membentangkan laporan prestasi wakil rakyatnya di DUN Sungai Bakap dari 2008 sehingga 2023, termasuk sumbangan mengatasi masalah rakyat.

Sepanjang tempoh itu kerusi terbabit disandang wakil PKR iaitu Maktar Shapee (2008-2018) dan Dr Amar Pritpal Abdullah (2018-2023).

Fadhli mengemukakan cadangan itu bagi menjawab cabaran dilontarkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli supaya PN membentangkan laporan wakilnya iaitu Zamri selama sembilan bulan mewakili DUN terbabit.

PN merampas kerusi itu pada PRN Ogos lalu apabila Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.