
Perlawanan diadakan di padang perumahan Taman Pekatra di Simpang Ampat, yang menemukan kepimpinan pemuda daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) itu mempamerkan aksi lincah dalam permainan santai hampir sejam.
Kesebelasan pasukan Akmal Nasrullah yang dipimpin bekas penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali Mat Yo, turut dibarisi pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri, serta beberapa ahli politik antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.
Barisan pemain PN dipimpin Muhammad Sanusi dibintangi bekas pemain bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar.
Sebaik sesi bersalaman kedua-dua pasukan, sepak mula kira-kira 6.30 petang menyaksikan suasana di padang perumahan itu yang biasanya tenang bertukar meriah dengan kehadiran dan sorakan penduduk setempat termasuklah jentera daripada kedua-dua parti.
Hadir sama memberi sokongan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi PH, Negeri Sembilan Aminuddin Harun; serta calon PH bagi PRK DUN Sungai Bakap, Joohari Ariffin.
Pasukan bola sepak PH terlebih dahulu mencetak gol pertama menerusi jaringan dilakukan Akmal Nasrullah menerusi lorongan yang dibuat Faiz Subri, menyaksikan kemudiannya mendahului 2-1 pada separuh masa pertama yang bermain selama 20 minit.
Pasukan lawan bangkit berselang babak kedua namun pasukan pimpinan Akmal nyata lebih gah meneruskan rentak kemenangan dan memperoleh kemenangan tipis 3-2 hingga tamat perlawanan.
Akmal ketika ditemui sejurus berakhir perlawanan berkata kejayaan program itu merupakan satu petanda baik bahawa kempen politik semakin matang serta unsur provokasi dan ekstrem dapat diredakan.
Beliau berkata dalam suasana kempen ini yang mungkin ada kerisauan dari segi soal keselamatan, provokasi dan sebagainya, beliau tetap melahirkan keyakinan sekiranya disusun dengan baik ia mampu menjadi medan mempereratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.
“Mesej yang saya cuba sampaikan juga adalah bahawa sementara kita cuba memfokuskan dan menyelesaikan isu semasa, kita juga boleh berdamping dengan masyarakat setempat melalui aktiviti riadah ini.
“Kita mungkin datang daripada pasukan berbeza dalam pilihan raya tetapi sebenarnya kita boleh bermain bola bersama dan selesai dengan baik sebelum kita kembali dengan kempen pilihan raya pada malam ini,” katanya.
Sementara itu, Sanusi berkata perlawanan persahabatan itu dilihat sebagai satu permulaan kepada kerjasama yang lebih besar kelak, di samping meredakan suhu panas kempen PRK DUN Sungai Bakap antara kedua-dua parti bertanding.
“Meskipun kita bertanding, kita kenalah juga berkempen secara sihat, kerana pengundi juga menilainya,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon PN, Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.