
Rafizi yang juga timbalan presiden PKR berkata tidak timbul soal pinjaman IMF kerana hanya negara berada di ambang muflis akan mendapatkan bantuan kewangan sedemikian.
“Kamu tak boleh pergi kepada IMF kalau kamu boleh bayar hutang. Ada Malaysia nak bankrap sekarang, ada kita tak boleh bayar hutang? Tak timbul soal IMF, kalau pun ada orang gila nak pinjam IMF, IMF akan kata kamu gila.
“Kamu tak boleh pinjam daripada kami (IMF) kerana kamu masih lagi ada duit. Negara yang pergi kepada IMF hanyalah negara yang sudah nak bankrap, baru boleh pergi kepada IMF,” katanya ketika berucap pada ceramah perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat, Nibong Tebal, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dalam satu kempen ceramah mega PN di Sungai Bakap pada Jumaat lalu yang bertanyakan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu mempunyai kaitan dengan pinjaman IMF.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.