Juruteknik jatuh pangsapuri, ahli keluarga percaya ada elemen jenayah

Juruteknik jatuh pangsapuri, ahli keluarga percaya ada elemen jenayah

Kakak kepada Khairul Nazrin Idris dakwa ada pertengkaran dengan individu tidak dikenali tidak lama sebelum mangsa ditemukan maut.

Lokasi kejadian di pangsapuri Plaza Indah P6 selepas juruteknik, Khairul Nazrin Idris, ditemukan maut selepas jatuh dari kediamannya.
PETALING JAYA:
Pihak keluarga percaya berlaku elemen jenayah di sebalik kematian juruteknik, Khairul Nazrin Idris, 23, yang ditemukan maut selepas terjatuh dari pangsapurinya, awal bulan ini.

Kakak mangsa, Natasha Fireen Idris, 31, berkata keluarganya mempertikai kes kematian Khairul diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menggesa polis melakukan siasatan lanjut.

Bercakap bagi pihak keluarganya, Natasha berkata mangsa ada menghubungi isterinya beberapa minit sebelum kematiannya selepas jatuh di pangsapuri Plaza Indah P6, pada 8 Jun.

Katanya, isteri Khairul ketika mereka sedang bercakap ada mendengar pertengkaran berlaku, namun Khairul mendiamkan diri.

“Ketika kejadian, dia menghubungi isterinya tetapi tidak bercakap apa-apa. Isterinya ada mendengar suara lelaki (bukan Khairul) dan seorang wanita, dan ia kedengaran tegang.

“Lelaki itu ada berkata ‘lu mari sini naik atas’,” katanya kepada FMT.

Selepas beberapa ketika, Natasha berkata, talian telefon menjadi senyap. Isteri Khairul kemudian bergegas pulang ke rumah, di mana dia mendapati suaminya tidak bergerak dengan kepala berlumuran darah di bawah bangunan pangsapuri.

Natasha berkata, jiran mereka juga ada terdengar pertengkaran berkenaan dengan individu tidak dikenali.

Beliau merayu polis meneruskan siasatan susulan ke atas kematian Khairul, sambil menyatakan besar kemungkinan adiknya itu tidak melompat dari bangunan kerana mangsa takut pada ketinggian dan tidak mempunyai masalah peribadi.

Khairul Nazrin Idris meninggalkan isteri dan bayi perempuan sembilan bulan.

“Kami hanya mahukan keadilan kepadanya. Kami hanya orang awam dan tidak dapat memaksa mana-mana saksi untuk beri kerjasama, jadi kami mengharapkan polis membuka semula kes,” katanya.

Khairul merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Dia meninggalkan isteri dan bayi perempuan sembilan bulan.

Polis Kajang dalam kenyataan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung seorang lelaki jatuh di atas cermin belakang kereta, dari sebuah pangsapuri.

Ketua polis Kajang ketika itu, Zaid Hassan berkata, siasatan awal oleh pasukan forensik mendapati tiada elemen jenayah dikesan dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketika dihubungi, Ketua polis Kajang baharu Naazron Abdul Yusof berkata kes status kekal sementara menunggu perkembangan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.