BN-PH terus kerjasama PRU16, tapi guna lambang sendiri

BN-PH terus kerjasama PRU16, tapi guna lambang sendiri

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu dan PH masing-masing akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada PRU16.

zahid
Zahid Hamidi pada perasmian mesyuarat Umno Maran di Pekan Tajau hari ini. (Gambar Bernama)
MARAN:
Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU16, kata Pengerusi Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata BN dan PH masing-masing akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu.

“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang Barisan Nasional. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan kerajaan perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Maran di Pekan Tajau.

Sementara itu, Zahid dalam ucapannya berkata sejak parti berada dalam kerajaan perpaduan bersama PH, belum ada lagi agenda Islam yang diketepikan.

“Saya yang bertanggungjawab nakhodai Umno (dan) saya akan pastikan bahawa parti komponen dalam kerajan perpaduan ini mengikuti semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita,” katanya.

Mengulas status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yang berasa diketepikan sehingga membuat keputusan tidak turun berkempen dalam PRK DUN Sungai Bakap, Zahid berkata parti itu masih lagi antara parti gabungan dalam Friends of BN.

“Kita mengalu-alukan semua, setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ini ada 11 Friends of BN di dalam sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada Friends of BN.

“Parti komponen empat saja, Umno, MCA, MIC dan PBRS sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti mesti konsensus, 100%…jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.

Sebelum ini, MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen dalam PRK DUN Sungai Bakap meskipun turun membantu BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pemangku Presiden MyPPP, Loga Bala Mohan, dipetik berkata keputusan itu dibuat demi maruah parti apabila pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.