
Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, menegaskan buat masa ini mereka kekal menjadi wakil rakyat bebas tanpa mana-mana parti.
Katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jelas keenam-enam mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan melanggar peruntukan, sehingga memerlukan speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan semua kerusi disandang kosong.
Syed Abu Hussin menggambarkan pindaan perlembagaan Bersatu bertujuan ‘memecat dan membuat ugutan’, selain mendawa berniat jahat dan tidak selari Perlembagaan.
“Apabila Bersatu menghantar notis rasmi mereka telah mengeluarkan nama kami dari senarai keahlian Bersatu, ini bermakna mereka telah mengambil tindakan untuk memecat saya.
“Perkara 49A(2)(c) telah jelas menyatakan kedudukan kami selaku ahli Dewan Rakyat tidak terhenti apabila Bersatu memecat saya daripada keanggotaan Bersatu setelah nama saya dikeluarkan daripada senarai keahlian,” katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengesahkan menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat penentang parti itu.
Selain Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan), sebelum ini menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bersatu menyifatkan mereka terhenti keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia.
Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.
Syed Abu Hussin berkata, beliau akan bertanding mempertahankan Parlimen Bukit Gantang sekiranya berlaku kekosongan kerusi.
Bagaimanapun, beliau berkata PRK sekali lagi hanya menyebabkan pembaziran dan membuang masa.