
Tiong berkata, isu itu mungkin tidak dijelaskan dengan baik dan beliau memohon maaf kepada orang ramai.
“Saya bertugas di luar negara beberapa hari lalu, dan timbalan menteri mungkin tidak menjelaskannya dengan jelas, yang membawa kepada publisiti meluas. Saya sudah menghubungi timbalan menteri untuk memahami perkara ini,” katanya, menurut China Press.
Beliau menegaskan Malaysia adalah negara berbilang kaum dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada satu etnik.
Katanya, ia juga termasuk kawasan tumpuan pelancongan yang perlu menjadi tempat boleh dikunjungi semua pelancong.
“Tiada lokasi harus dikhususkan kepada agama tertentu saja,” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, Khairul mencadangkan Langkawi dijadikan ‘destinasi pilihan Muslim’ untuk bersaing dengan pulau lain menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Katanya, ia adalah satu cara untuk Malaysia bersaing dengan negara lain dengan memberi tumpuan kepada sektor khusus.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada pendekatan yang diambil kerajaan negeri tertentu dalam mengenakan dasar yang tidak mesra pelancong seperti larangan minum arak dan memakai seluar pendek boleh menjejaskan kejayaan TMM2026.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menolak pendekatan itu dengan berkata pulau pelancongan itu sebaliknya perlu terbuka kepada pengunjung seluruh dunia.
Menurutnya, pulau itu mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menjadi tarikan pelancong pelbagai latar belakang.