
R Sivarasa dan Lee Boon Chye mendakwa ada persefahaman jelas supaya peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dilakukan namun Mahathir mengingkarinya.
Sivarasa, bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar berkata perkara paling jelas sepanjang pentadbiran Mahathir dalam tempoh itu adalah kegagalannya untuk menunaikan janjinya terbabit.
“Beliau janji untuk serahkan kepada Anwar selepas dua tahun memerintah.
“Jika beliau melakukannya pasti kerajaan PH lebih stabil dengan Anwar sebagai perdana menteri,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh itu kepada FMT.
Kerajaan PH itu terkubur selepas lebih 20 bulan susulan peletakkan jawatan Mahathir yang membuka pembentukan pentadbiran menggabungkan Bersatu, Barisan Nasional, PAS, dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai Azmin Ali.
Azmin dikatakan satu-satunya menteri dari PKR yang utuh menyokong Mahathir, menurut tulisan perunding politik Romen Bose dalam buku “Shattered Hopes”. Beliau turut mendakwa Mahathir merasakan PKR menjadi ancaman terbesar berbanding DAP.
Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye yang juga dari PKR berkata pendedahan buku itu menunjukkan telah ada rancangan untuk penetapan kuasa di sebalik janji dibuat sebelum pilihan raya.
Menurutnya, rakan PKR dalam PH iaitu DAP dan Amanah jelas bahawa peralihan kuasa harus dibuat selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada penghujung 2020.
Dakwanya, pendirian itu diperkuatkan lagi pada mesyuarat terakhir PH bersama Mahathir sebelum berlakunya Langkah Sheraton pada Feb 2020.
Lee mendakwa Azmin yang bercita-cita besar menjadi dalang kepada peristiwa itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin berkata walaupun parti itu ditubuhkan antaranya untuk menentang Mahathir, namun sanggup bekerjasama dengan melupakan persengketaan lebih 20 tahun.
“Tetapi Mahathir dengan perangainya adalah diktator dan mengambil peluang memainkan sentimen untuk kekal berkuasa dan menghalang Anwar untuk memimpin,” katanya.