PM mahu alam sekitar, budaya diutama dalam projek kereta kabel Bukit Bendera

PM mahu alam sekitar, budaya diutama dalam projek kereta kabel Bukit Bendera

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pembinaan sistem RM250 juta itu akan memberi impak minimum kepada alam sekitar dan ciri budaya resort itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, diapit ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma Ravindran Menon, pada majlis pecah tanah projek kereta kabel Bukit Bendera.
GEORGE TOWN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pihak yang melaksanakan projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM250 juta perlu memberi lebih perhatian untuk memelihara alam sekitar serta ciri budaya resort di kawasan itu.

Beliau berkata sistem kereta kabel umumnya mesra alam dan menjadi mod pengangkutan yang mampan untuk pusat bukit peranginan.

“Pembinaan projek kereta kabel ini akan melibatkan pemotongan pokok secara minimum bagi memastikan tiada kesan buruk terhadap alam sekitar. Tidak ada undang-undang yang kami tidak ikut; semua kelulusan telah diperoleh dan projek ini mesra alam dengan impak yang minimum.

“Walaupun teknologi canggih digunakan dalam projek kereta kabel, ia juga mengambil kira aspek persekitaran dan budaya. Ini adalah peringatan tepat pada masanya,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan acara pecah tanah untuk stesen projek kereta kabel di Taman Botani. Laluan kereta kabel akan dibina dari situ sehingga ke belakang balai polis di atas bukit dan akan siap pada suku ketiga 2026.

Kumpulan alam sekitar sebelum ini membantah terhadap projek itu kerana daya tampung bukit itu akan melebihi had 4,800 orang.

Pengurus stesen bukit itu menafikan dakwaan sedemikian, dengan berkata kajian menunjukkan tidak pernah ada lebih daripada 1,400 pengunjung di atas bukit pada satu-satu masa, dengan kapasiti semasa ditetapkan pada 6,463 orang.

Projek itu, yang dibangunkan menerusi perkongsian awam-swasta antara kerajaan Pulau Pinang dan Hartasuma Sdn Bhd, terdiri daripada 50 gondola lapan tempat duduk yang menempuh laluan sejauh 2.73km dari stesen taman ke stesen bukit dalam masa kurang 10 minit.

Ia akan memberi perkhidmatan kepada 1,000 penumpang pada kelajuan 6m sesaat, beroperasi 700m di atas paras laut. Hartasuma, yang terpilih daripada lima syarikat akan memegang konsesi selama 30 tahun.

Kereta kabel itu akan berfungsi sebagai pintu masuk ke Rizab Biosfera Bukit Pulau Pinang yang diiktiraf Unesco.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek itu sejajar dengan strategi pelancongan negeri selain menyediakan pilihan kedua yang sangat diperlukan untuk mendaki bukit, mengurangkan tekanan ke atas sistem funikular.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma Ravindran Menon berkata plaza komersial dengan 700 tempat letak kereta juga akan dibina berhampiran pejabat Taman Botani.

Beliau berkata sistem kereta kabel itu akan memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi dalam kebolehpercayaan dan kecekapan.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kepakaran rakan kongsi mereka, Doppelmayr Seilbahnen GmbH, yang telah menjalankan projek kereta kabel di seluruh dunia, termasuk kereta kabel Ba Na Hills di Vietnam, yang terkenal dengan kejuruteraan yang mengagumkan dan kesan alam sekitar yang minimum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.