
Pakar berkata, kumpulan keciciran SPM 2023 sudah terbiasa dengan alam pekerjaan dan mempunyai sumber kewangan menyebabkan mereka tidak memiliki motivasi untuk meneruskan pengajian kesan daripada pandemik Covid-19 lalu.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi, berkata kajian pihaknya mendapati kumpulan menduduki SPM pada 2023 adalah pelajar yang terpaksa belajar secara dalam talian sejak akhir 2020 dan tidak mengambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2021 kerana Covid-19.

Katanya, ketika masuk ke Tingkatan 4 pada 2022, mereka melalui pengajian separuh daripada waktu di sekolah dan pembelajaran dalam talian menyebabkan ramai daripada kumpulan itu turut bekerja untuk membantu ekonomi keluarga.
“Jika nak teruskan pujuk yang lain-lain untuk ambil semula SPM kena bagi motivasi, kerana mereka akan nampak dengan adanya SPM akan buka jalan untuk mendapatkan sumber kewangan lebih kukuh…ketika ini mereka dah ada sumber kewangan namun tak nampak masa depan,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat hanya 399 daripada 10,160 calon SPM tidak hadir tahun lalu berjaya dipujuk supaya mengambil semula peperiksaan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata jumlah 399 pelajar yang berjaya dipujuk adalah angka kecil berbanding keseluruhan pelajar tidak hadir SPM.
Justeru, beliau mencadangkan sekolah mengenal pasti pelajar Tingkatan 4 yang berpotensi tidak mengambil SPM seperti bekerja ketika belajar, miskin atau mempunyai masalah kesihatan.
“Kenapa kena tunggu sehingga capai 10,160 tak hadir SPM, sepatutnya dah boleh buat persediaan awal sebelum SPM bermula.
“Kalau tahu lebih awal kita boleh ambil banyak usaha elak mereka tidak hadir dengan kaunseling, beri sumber kewangan, motivasi, bimbingan dan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Othman Lebar dari Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mencadangkan KPM memberikan pendidikan dan kemahiran sesuai dengan perkembangan terkini supaya pelajar mampu menghadapi ‘situasi masa depan yang tidak menentu’.
Beliau mengambil contoh pekerjaan diminati golongan muda iaitu pempengaruh atau pencipta kandungan media sosial yang tidak memerlukan kelulusan khusus.
“Sekarang ramai tak jelas apa akan diperoleh pada masa depan kerana perubahan pesat. Keadaan berbeza dengan 20 tahun lalu yang pelajar nampak pada masa depan mereka nak jadi peguam atau jurutera,” katanya.