PRK Sg Bakap: Polis terima laporan kes rosak bahan kempen

PRK Sg Bakap: Polis terima laporan kes rosak bahan kempen

Pemuda PKR Pulau Pinang dakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen dengan merosakkan gegantung dan bendera PH.

Polis menasihati semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Polis Pulau Pinang menerima satu laporan berhubung kejadian merosakkan bahan kempen parti politik semalam, yang merupakan insiden pertama sepanjang tempoh kempen PRK DUN Sungai Bakap sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan gegantung parti.

“Hari ini telah masuk fasa kedua tempoh berkempen bagi PRK DUN Sungai Bakap dan setakat ini polis terima satu laporan kejadian membabitkan merosakkan bahan kempen. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Sehingga hari ketujuh berkempen hari ini, polis keluarkan 11 lagi permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra menjadikan keseluruhan permit yang diluluskan setakat ini adalah 45 dan tiada permit yang ditolak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pemuda PKR Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen dengan merosakkan gegantung dan bendera parti Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan, mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada di antaranya dibuang ke dalam longkang.

Sementara itu, Hamzah berkata dalam tempoh kempen berbaki lapan hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu depan, polis menasihati semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya.

Polis juga memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta tindakan tegas akan diambil.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin, dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.