
Ia diadakan susulan kerusi disandang Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan kosong.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata undi awal pula akan diadakan pada 13 Ogos.
Pada 19 Jun lalu Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah, mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong selepas dimaklumkan Azizi bukan lagi ahli Bersatu.
Menurut Bersatu, keahlian Azizi dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Azizi memfailkan permohonan awal minggu ini untuk mencabar tindakan Bersatu menghentikan keahliannya dan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonannya mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK itu.
Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dipilih sebagai Adun Nenggiri pada PRN Ogos tahun lalu.
Beliau menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun Nenggiri, dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi. Kemenangannya bermakna ia adalah kali pertama Barisan Nasional kehilangan kerusi itu sejak 2004.