Tak wajar jadikan PRK Sg Bakap referendum terhadap kerajaan, kata Fadhlina

Tak wajar jadikan PRK Sg Bakap referendum terhadap kerajaan, kata Fadhlina

Menteri pendidikan berkata, pemilihan wakil rakyat sangat penting dalam membawa suara masyarakat.

Fadhlina Sidek b
Fadhlina Sidek berkata, tindakan pembangkang meminta pengundi menjadikan PRK Sungai Bakap sebagai referendum terhadap kerajaan akan mencemarkan proses demokrasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan tindakan pembangkang meminta pengundi menjadikan PRK Sungai Bakap referendum terhadap kerajaan, khasnya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati atas kenaikan kos sara hidup sebagai tidak wajar.

Ini kerana, katanya, tindakan itu akan mencemarkan proses demokrasi kerana pemilihan wakil rakyat sangat penting dalam membawa suara masyarakat.

“Pada pandangan saya, dakyah dan naratif sebegitu sangat dangkal…Tidak begitu wajar protes itu dilaksanakan kerana kita kena tahu undi dan proses demokrasi ini berlangsung dalam kotak undi.

“Kita perlu memberi sokongan penuh dalam melantik wakil rakyat yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat dan menyampaikan suara mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Fadhlina yang juga ketua Wanita PKR mengulas kenyataan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang mengajak pengundi menjadikan PRK itu sebagai referendum menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan dasar kerajaan perpaduan.

PRK Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin dan calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin.

Pada PRN Pulau Pinang tahun lalu, PN menerusi calon daripada PAS menewaskan PH dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.