
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata lakaran suspek dibuat berdasarkan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pejabat syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor pada hari sama bungkusan itu dikirim ke pejabat Tiong King Sing.
Katanya hasil siasatan IPD Putrajaya, individu yang identitinya digunakan suspek memaklumkan dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh itu.
“Malah, dia juga tidak mengetahui tentang sebarang urusan penghantaran barang seperti dilakukan suspek,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPD Brickfields.
Menurutnya suspek itu dikesan berbaju merah, berjaket hitam dan memakai penutup kepala hitam.
Beliau meminta bantuan orang ramai mempunyai maklumat tentang suspek dan kejadian itu memaklumkan IPD Putrajaya atau menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.
Rusdi menyarankan syarikat dan institusi perbankan mengarahkan pelanggan menunjukkan wajah atau membuka pelitup muka semasa berurusan kerana langkah itu sangat penting bagi membolehkan polis mengenal pasti identiti mana-mana individu semasa kejadian jenayah.
Katanya penggunaan CCTV yang baik perlu diamalkan di premis berkepentingan, selain pemeriksaan dan penyeliaan CCTV juga perlu bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
Pada 5 Jun lalu, kakitangan dan pelawat di pejabat Motac di Putrajaya diarah mengosongkan bangunan susulan ancaman bom yang dialamatkan kepada Tiong.
Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata bom palsu itu dihantar ke Motac menerusi sebuah syarikat penghantaran pada 11.19 pagi dan diambil sebelum dibawa ke tingkat 14 pada 2.45 petang.
Katanya bungkusan itu mengandungi paip PVC, wayar dan “timer” menyerupai bahan letupan dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu, termasuk Tiong untuk membantu siasatan.