Pesawat ringan mendarat cemas dekat Pelabuhan Klang

Pesawat ringan mendarat cemas dekat Pelabuhan Klang

Menara Kawalan Subang menerima panggilan kecemasan pada 2.58 petang tadi, lapan minit setelah pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

CAAM berkata, pesawat Piper PA-28-161 membawa dua penumpang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sebuah pesawat ringan dikendalikan Kelab Penerbangan Subang terpaksa membuat pendaratan cemas dekat Pelabuhan Klang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, pesawat Piper PA-28-161 yang membawa dua penumpang itu membuat panggilan kecemasan pada 2.58 petang tadi, lapan minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur CAAM diaktifkan pada 3.10 petang selepas menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” kata CEO CAAM, Norazman Mahmud dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor mengesahkan juruterbang Rolando Barba Jr dan pelatih juruterbang Muhammad Ridz Farhan Ridzwan selamat.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata tiga jentera bersama lima pegawai dan 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 4.13 petang.

“Bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.42 petang dan pemeriksaan ke atas pesawat oleh Pegawai Operasi Negeri, Mustakim Rimon mendapati pesawat itu tidak menunjukkan tanda-tanda kebakaran.

“Juruterbang dan pelatih juruterbang juga dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.