Kurang 24 jam dilancar, tabung solidariti Selangor FC cecah RM20,000

Kurang 24 jam dilancar, tabung solidariti Selangor FC cecah RM20,000

Menteri Besar Selangor Besar Amirudin Shari berkata rakyat dari seluruh negara turut serta menyumbang kepada tabung itu.

selangor
Menteri Besar Selangor Besar Amirudin Shari melancarkan kempen Solidariti Bersama Selangor FC bagi membantu pasukan itu membayar denda yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tabung yang dilancarkan Selangor bagi membantu Selangor FC membayar denda dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berjaya mengumpul dana berjumlah RM20,000 dalam tempoh sehari, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“Sambutan luar biasa terhadap kempen Solidariti Bersama Selangor FC. Dana terkumpul telah mencecah RM20,000 ribu kurang 24 jam dilancarkan.

“Pada penyumbang hadir dari seluruh negara, dari Sabah hingga Johor, rakyat bersolidariti. Ini keindahan sukan bola sepak,” katanya di platform X.

Semalam, Amirudin mengumumkan pelancaran tabung tersebut selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, selepas berbincang dengan exco sukan negeri.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dengan hukuman ‘tidak masuk akal’ dikenakan terhadap Selangor FC kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Baginda bertitah, keputusan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan ‘berlebihan’ memandangkan kemenangan sudah diberikan kepada pasukan lawan.

Kelmarin, MFL mengumumkan denda RM100,000 terhadap Selangor FC, bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Bagaimanapun, MFL hari ini mengumumkan denda itu dikurangkan kepada RM60,000 dan pemotongan mata dibatalkan sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Sharafuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.