Dr M punca perpecahan orang Melayu, kata penganalisis

Dr M punca perpecahan orang Melayu, kata penganalisis

Antara peristiwa penting mencetuskan perpecahan orang Melayu termasuk tindakan Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim pada 1998.

1980 - 1998
Penganalisis politik berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada perbalahan antara Dr Mahathir Mohamad dengan tokoh-tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam, dan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik tidak bersetuju dengan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat Melayu berpecah hanya selepas beliau berundur sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada 2003.

Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre dan Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, perbalahan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada konflik dalaman yang timbul semasa Mahathir menjadi presiden Umno.

Hisomuddin berkata, keputusan Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalannya pada 1998 memecahbelahkan asas sokongan Melayu parti itu.

“Akibatnya, PAS mendapat manfaat dengan (dapat) menambah kerusi Parlimennya, memperoleh 20 lebih kerusi berbanding PRU sebelum itu,” katanya kepada FMT.

PAS bertanding pada PRU 1999 sebagai sebahagian daripada Barisan Alternatif, gabungan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Nasional (PKN) pimpinan Anwar ketika itu, DAP dan beberapa parti lain.

Secara keseluruhan, Barisan Alternatif menang 42 kerusi, dengan PAS memperoleh 27.

Hisomuddin juga berkata, Mahathir memecahbelahkan lagi masyarakat Melayu dengan menubuhkan Bersatu, sebuah parti serpihan Umno, dan bertanding pada PRU14 enam tahun lepas bersama Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian selepas Mahathir dalam temu bual eksklusif dengan FMT baru-baru ini mendakwa, perpecahan yang kini berlaku dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada ketidakcekapan penggantinya.

Sementara itu, Mazlan merujuk kepada krisis lain yang berlaku semasa Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

Beliau berkata, peletakan jawatan Musa Hitam sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden parti pada 1986 meretakkan parti Melayu terbesar di negara ini.

“Pada 1987, Umno juga menghadapi krisis dan akhirnya diharamkan, membawa kepada pembentukan Semangat 46,” kata Mazlan.

Peristiwa yang mencetuskan kemelut pada 1987 itu berpunca daripada pemilihan parti yang penuh kontroversi, membawa kepada pertikaian di mahkamah yang seterusnya menyaksikan Umno diharamkan. Peristiwa ini mendorong Tengku Razaleigh Hamzah, Musa dan tokoh lain dalam parti membentuk Semangat 46 pada 1989.

Walaupun Umno Baru kemudian ditubuhkan dan Semangat 46 dibubarkan, parti itu berpecah semula pada 1998 apabila Anwar dipecat, kata Mazlan.

“Semuanya berlaku pada zaman Mahathir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.