Buat aduan rasmi sebelum tular amalan tak beretika peniaga, kata menteri

Buat aduan rasmi sebelum tular amalan tak beretika peniaga, kata menteri

Dikhuatiri peniaga terbabit boleh menyembunyikan kesalahan mereka sebelum tindakan diambil KPDN.

Armizan Mohd Ali (tengah) menerima cenderamata daripada Pengarah Shopee Malaysia, Chua Cheng Xun (dua dari kanan) pada Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di Petaling Jaya hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali menggesa pengguna membuat aduan rasmi di platform sedia ada bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa terhadap ketidakpatuhan amalan perdagangan dalam kalangan peniaga.

“Hanya viralkan terlebih dahulu, akhirnya mereka yang lakukan kesalahan itu boleh sembunyikan.

“Saya tiada masalah kalau nak buat aduan di media sosial. Tapi, kalau ia boleh disalurkan di platform sedia ada dengan maklumat tepat, lagi mudah untuk kami buat siasatan segera,” katanya selepas Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024.

Beliau berkata, advokasi kepenggunaan penting dalam menjamin kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menangani peniaga tidak bertanggungjawab.

“Kami boleh menambah sebanyak mungkin penguat kuasa atau melakukan penguatkuasaan, tapi ia juga bergantung kepada kerjasama dan kesedaran pengguna.”

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada 18 Jun lalu menggesa KPDN lebih tegas menguatkuasakan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata, tinjauan CAP di seluruh negeri mendapati tahap ketidakpatuhan peniaga terhadap keperluan meletak tanda harga masih meluas dalam kalangan penjual di gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.