Shahril letak jawatan dalam FAM, dakwa mahu tumpu tugas di Selangor FC, FAS

Shahril letak jawatan dalam FAM, dakwa mahu tumpu tugas di Selangor FC, FAS

Shahril Mokhtar sebelum ini menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bawah pimpinan Hamidin Mohd Amin.

Peletakkan jawatan Shahril Mokhtar dalam FAM menyusul kritikan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan kemurkaan dengan hukuman tidak masuk akal dikenakan terhadap Selangor FC oleh Liga Bola Sepak Malaysia.
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Shahril Mokhtar meletak semua jawatannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa serta merta.

Katanya, surat peletakan jawatan sebagai ahli jawatankuasa dan pengerusi jawatankuasa pemasaran dan penajaan FAM diserahkan kepada Presiden Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agungnya Noor Azman Rahman hari ini.

“Saya secara rasmi sudah letakkan semua jawatan dalam FAM dengan serta-merta, surat diserah tengah hari tadi,” katanya yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kepada FMT.

Beliau tidak menyatakan punca meletak jawatan namun memberitahu mahu menumpukan tugas di Selangor FC dan FAS.

Keputusan Shahril menyusul selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan rasa murka dengan hukuman tidak masuk akal dikenakan terhadap Selangor FC kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Sultan Sharafuddin menyifatkan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Semalam, MFL mengumumkan denda RM100,000 terhadap Selangor FC, bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dimainkan tanpa penonton.

Lebih mendukacitakan baginda, Hamidin tidak serius bersuara walaupun ‘berpengalaman’ dalam arena bola sepak Selangor dengan pernah memegang jawatan setiausaha agung FAS.

Bulan lalu, Selangor FC memutuskan ‘tidak akan hadir’ dalam perlawanan menentang JDT itu selepas MFL menolak permohonan mereka menunda tarikh asal perlawanan atas alasan ‘faktor keselamatan’.

Permohonan pasukan itu susulan insiden malang menimpa tonggak utamanya Faisal Halim yang cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.