Selangor FC diberi sampai hujung minggu rayu hukuman

Selangor FC diberi sampai hujung minggu rayu hukuman

CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata jumlah hukuman dikenakan mungkin akan dikurangkan.

Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, menasihati Selangor FC membuat rayuan kepada MFL terlebih dulu jika bercadang bawa kes ke Mahkamah Sivik dan Mahkamah Timbang Tara Sukan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pasukan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dijatuhkan empat bentuk hukuman susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, berkata skuad Gergasi Merah mempunyai tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.

Beliau berkata, jumlah hukuman terhadap Selangor diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL juga mungkin akan dikurangkan berdasarkan pertimbangan badan rayuan MFL.

“Badan rayuan akan meneliti semua dokumen berkaitan dan bersidang selama dua hingga tiga minggu sekiranya Selangor memutuskan untuk mengeluarkan surat rayuan,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan (NCT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Semalam, MFL dalam kenyataan memaklumkan Selangor FC dihukum antara lain didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Mereka juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak serta perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, Selangor dalam kenyataan malam tadi, sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya.

Selangor menjelaskan mereka memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Sekiranya naib juara Liga Super 2023 itu mahu mencari alternatif lain termasuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Sivik dan Mahkamah Timbang Tara Sukan, Stuart berkata mereka perlu menjalani proses perundangan termasuk rayuan kepada MFL terlebih dahulu sebelum membuat tindakan sedemikian.

Ditanya mengenai tindakan MFL mengenakan hukuman bermain tanpa penonton, Stuart berkata tindakan tersebut diputuskan pihaknya memandangkan JDT tidak memperoleh hasil komersial pada perlawanan Sumbangsih tersebut.

“Bagi mereka (Ahli Lembaga Pengarah MFL), perlawanan timbal balik tidak sepatutnya mempunyai apa-apa keuntungan untuk pasukan yang bertanding dan ia juga adalah berkaitan komersial. Satu pasukan tidak memperoleh keuntungan daripada tidak menghadiri satu perlawanan tetapi mendapat keuntungan dari perlawanan timbal balik, itu adalah pandangan ahli lembaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.