RUU bubar Mavcom lulus

RUU bubar Mavcom lulus

Proses pembubaran Mavcom akan berkuat kuasa antara enam hingga sembilan bulan akan datang.

mavcom
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) ditubuhkan pada 2016 berfungsi untuk mengawal selia isu ekonomi dan pengguna sektor penerbangan awam.
KUALA LUMPUR:
Rang undang-undang (RUU) untuk membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) diluluskan Dewan Rakyat dengan majoriti Ahli Parlimen menyokong.

Seramai 93 Ahli Parlimen menyokong dan 63 lagi tidak menyokong manakala 66 pula tidak hadir ketika sesi undian belah bahagi dijalankan selepas penggulungan oleh Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Undian belah bahagi diminta (PN-Kota Bharu) Takiyuddin Hassan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 46 (4) Dewan Rakyat selepas 15 Ahli Parlimen bangun meminta ia dilaksanakan.

Terdapat 16 Ahli Parlimen terlibat ketika sesi perbahasan dengan majoritinya terdiri Perikatan Nasional (PN) yang meminta kementerian menangguhkan RUU itu dan membawanya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diteliti sebelum diluluskan.

Antara dakwaan disuarakan (PN-Machang) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kama termasuk pembubaran Mavcom bertujuan melicinkan urusan penjualan pegangan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat dikaitkan dengan firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), BlackRock.

Loke bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menegaskan urusan tersebut adalah berkaitan Khazanah dan belum sampai kepada tahap melibatkan Mavcom.

“Tak boleh katakan kita buat ini membantu licinkan urusan penjualan saham MAHB, tidak ada kena-mengena.

“Apa diuruskan Mavcom akan diteruskan, (urusan pembubaran) akan ambil masa enam hingga sembilan bulan,” katanya memaklumkan Mavcom akan menjalankan fungsinya sehingga pembubaran tersebut dikuatkuasakan.

RUU itu bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Akta 771), bagi membubarkan Mavcom yang ditubuhkan bawah akta berkenaan.

Ia juga bertujuan bagi mengadakan peruntukan bagi peletakhakan hartanya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang ditubuhkan bawah Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Akta 788) untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan.

Mavcom ditubuhkan pada 2016 berfungsi untuk mengawal selia isu ekonomi dan pengguna sektor penerbangan awam mempunyai seramai 60 kakitangan, sementara CAAM mempunyai sekitar 1,500 kakitangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.