
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata itu antara lima syor dikemukakan kepada kerajaan untuk memantau isu hutang ditanggung Felcra Berhad serta anak-anak syarikatnya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan pinjaman itu kini berjumlah RM1.532 bilion selepas distruktur dan dijadualkan semula selama 35 tahun dengan kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021.
Jelasnya, menerusi prosiding sebelum ini jumlah itu disumbangkan akibat kerugian anak syarikat Felcra iaitu RM309.8 juta untuk membayar hutang syarikat usaha sama estet selain RM842.7 untuk Felcra Properties kepada Felcra Berhad (RM842.7 juta).
“Di mana kerajaan telah memberikan pinjaman RM544 juta kepada Felcra untuk pembangunan sebuah projek komersial di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dikenali sebagai Semarak20.
“PAC telah menjalankan prosiding dengan begitu teliti terhadap penyaluran pinjaman kerajaan kepada Felcra kerana berpandangan syarikat berkaitan kerajaan itu tidak mempunyai kepakaran dalam pembangunan komersial sebesar projek Semarak20,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai langkah penambahbaikan, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata pihaknya menggesa Felcra melihat semula matlamat asal penubuhannya, manakala KKDW perlu lebih bertanggungjawab serta tegas mengawal selia anak syarikatnya.
“KKDW perlu memastikan Felcra dan Felcra Properties merangka strategi menyeluruh termasuk jualan dan peluang perniagaan bagi projek Semarak20 berjaya supaya pembayaran semula hutang kepada kerajaan dapat dilakukan serta memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
“KKDW dan Felcra perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kerajaan dan pelaksanaan strategi ke atas projek Semarak20 kepada PAC setiap tiga bulan sebagai satu mekanisme pemantauan,” katanya.
Beliau berkata PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), Kementerian Kewangan, KKDW dan Felcra sebelum dipanggil untuk prosiding tindakan susulan.
“Ini bagi membolehkan jawatankuasa mengetahui tindakan telah diambil oleh MOF dan Felcra terhadap lima syor PAC,” katanya.