

“Kami ingat akan kekal pada tahap sebelum ini atau diturunkan,” kata Pengarah Eksekutif North-South Initiative, Adrian Pereira kepada FMT.
Menjelaskan jangkaan itu, Pereira berkata aktivis hak buruh masih perlu diyakinkan dari segi pendakwaan terhadap dalang di sebalik pemerdagangan manusia.
Di sebalik usaha kerajaan membantu mangsa mendapatkan keadilan, Pereira menegaskan ‘selagi dalang tak dibawa ke muka pengadilan, memanglah masalah ini akan berterusan.’
“Mana dalang-dalang? Adakah mereka didakwa ke mahkamah? Kita tak tahu sebab kita tak nampak,” katanya.
Pereira berkata, media ada melaporkan pihak tertentu didakwa di mahkamah namun masalah masih berterusan.
Beliau berkata, tidak cukup laporan mengenai usaha yang ‘membawa perubahan mendalam dan bawa perubahan dalam jangka masa panjang.’
Malaysia naik satu tahap berbanding tahun lalu, dari Tahap 2 Pemerhatian ke Tahap 2 Laporan Tahunan TIP Jabatan Negara AS.
Laporan TIP ialah penilaian tahunan yang menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan usaha kerajaan dalam pendakwaan, perlindungan dan pencegahan merangkumi empat kategori iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3.
Malaysia berada di Tahap 3 pada 2021 dan 2022. Penurunan tahap membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.
Dalam pada itu, Pereira berpandangan laporan oleh Jabatan Negara AS itu tidak mengambil kira perubahan yang dibawa oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Sim bawa perubahan tapi dia masih beberapa bulan. Laporan ini sampai hujung Mac tak silap saya dan Sim baru masuk Disember,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Hishamuddin Hashim, berkata kerajaan masih perlu selesaikan isu warga asing ditipu ke Malaysia atas janji pekerjaan tidak wujud.
Katanya, kedudukan Malaysia pada Tahap 2 tidak selamat selagi wujudnya ‘kartel-kartel tertentu’.
“Jika tidak ditangani akan timbulnya isu pemerdagangan manusia, eksploitasi tenaga kerja, dan isu kemanusiaan yang akhirnya akan menjejaskan nama Malaysia,” katanya.